COVID-19: 135 Penuntut IPT Dikuarantin Di IPG Kampus Tawau

Sebahagian kumpulan penuntut IPT yang baru pulang dari Semenanjung beratur sebelum mendaftar masuk di IPG Tawau untuk menjalani kuarantin. – NSTP/Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Seramai 135 penuntut institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang pulang dari Semenanjung dikuarantin di Pusat Kuarantin, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, di sini, hari ini.

Difahamkan pergerakan pulang kumpulan penuntut dari pelbagai universiti itu menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) petang semalam.

Mereka kemudiannya menyambung perjalanan pada jam 10 malam melalui jalan darat menggunakan sepuluh buah bas sebelum tiba di sini, kira-kira jam 9.15 pagi.

Penyelia Pusat Kuarantin IPG Tawau, Kapten (APM) Hussien Mohd Nor, berkata IPG Tawau merupakan salah satu Pusat Kuarantin bagi Zon Tawau yang merangkumi daerah Semporna dan Kunak serta mampu menampung seramai 800 penghuni dalam satu masa.

Katanya, terdapat tiga blok penginapan digunakan untuk menempatkan individu dalam siasatan (PUI) termasuk pelajar dan orang awam yang baru pulang dari Semenanjung dan luar negara.

“Orang ramai tidak perlu khuatir kerana selain tiga blok yang digunakan sekarang Alamanda; Dahlia; dan Mawar, kita ada satu lagi blok tambahan iaitu blok Teratai yang mampu menempatkan kira-kira 200 penghuni.

“Malah, sekiranya keadaan mendesak, asrama di Kompleks Sukan Tawau yang baharu digazetkan sebagai Pusat Kuarantin juga bersedia menerima penghuni pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui media semasa menyambut kehadiran penuntut IPT untuk dikuarantin di IPG Kampus Tawau hari ini.

Beliau berkata ketika ini, selain 14 penghuni sedia ada, seramai 348 orang termasuk 199 rakyat Sabah yang baru pulang dari Semenanjung menggunakan pengangkutan udara melalui Lapangan Terbang Tawau petang semalam turut ditempatkan di pusat kuarantin berkenaan.

Mengulas mengenai rungutan individu yang mendakwa tidak mendapat layanan baik di pusat itu, beliau menjelaskan ia adalah kes terpencil.

“Di sini, kita bekalkan makanan bermasak secara katering mengikut jadual. Bagi yang berpuasa juadah bersahur dan berbuka disediakan manakala bagi yang bukan Islam menu disediakan seperti biasa, termasuk Sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam,” katanya. – Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *