Bas Ekspres Di Seluruh Sabah Mula Beroperasi Esok

KOTA KINABALU: Bas ekspres di seluruh Sabah akan mula beroperasi esok bagi memudahkan pergerakan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC), Datuk Donald Hanapi berkata, sehubungan itu pihaknya berharap penumpang dapat mematuhi prosedur operasi standard standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, penumpang wajib mengisi borang deklarasi Covid-19, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial, pemeriksaan suhu badan sebelum menaiki kenderaan dan tidak dibenarkan berhenti sepanjang perjalanan.

“Terdapat lebih 20 pengusaha bas ekspres dengan lebih 200 bas bersedia untuk memastikan SOP ditetapkan dipatuhi.

“Hanya separuh daripada kapasiti tempat duduk dibenarkan. Pengusaha juga wajib melakukan disinfeksi bas masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Donald berkata, tiket boleh dibeli secara dalam talian di aplikasi EasyBook atau di kaunter Terminal Bas Inanam seperti biasa.

Beliau turut mengingatkan pemandu bas ekspres tidak berhenti seperti kebiasaan dan penumpang dapat bersedia sepenuhnya termasuk menunaikan solat ketika bas bergerak.

Menurutnya, penumpang yang tidak memberikan kerjasama terutamanya dalam pematuhan SOP yang ditetapkan tidak akan dibenarkan meneruskan perjalanan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6664