Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Lulus RUU Perbekalan Tambahan RM680 Juta

KUCHING, 11 Mei: Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini sebulat suara meluluskan dua Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan melibatkan sejumlah RM681,491,777 bagi perbelanjaan yang tidak dimasukkan dalam bajet kerajaan negeri 2020.

RUU yang dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu adalah RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020 yang melibatkan sejumlah RM299,171,014 dan RUU Perbekalan Tambahan (2020) 2020 bagi jumlah RM382,320,763.

 “Perbelanjaan tambahan itu adalah bagi tujuan membiayai kos pelbagai kementerian dan jabatan yang tidak dibekalkan sebelum ini, atau tidak mencukupi,” katanya.

Kecuali lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak hadir ke persidangan sehari hari ini, kedua-dua RUU itu diluluskan tanpa perbahasan dari kalangan 76 ADUN yang hadir.

Terdahulu Speaker Dewan Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dalam ucapan pembukaan berkata beliau memberi kebenaran kepada lima ADUN yang tidak dapat hadir persidangan, yang terdiri daripada Dr Annuar Rapaee (ADUN Nangka), Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Datuk Ranum Mina (Opar), Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Datuk Tiong Thai King (Dudong).

Persidangan Dewan Undangan selama kira-kira satu setengah jam hari ini berlangsung tanpa majlis pembukaan sepertimana sebelum ini.

Mohd Asfia berkata persidangan perlu berlangsung sedemikan rupa memandangkan suasana semasa penuh cabaran yang dihadapi susulan kemunculan pandemik COVID-19, yang memaksa pelbagai langkah keselamatan diambil dalam usaha membendung penularannya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *