Aidilfitri, Pesta Kaamatan & Gawai Dalam PKPB

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Kesayuan tidak pulang ke kampung halaman dan berkumpul bersama keluarga pada musim perayaan utama yang bakal menjelang – Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai – difahami Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.

“Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara,” kata Perdana Menteri dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen-stesen televisyen, hari ini.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun menyaksikan larangan perjalanan rentas negeri bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Berkongsi kesayuan suasana berhari raya di perantauan, Muhyiddin berkata stesen-stesen televisyen dan radio boleh membantu menceriakan suasana perayaan dengan memainkan lagu-lagu yang lebih ceria.

“Stesen-stesen TV dan radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga.

“Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu ‘Jange Kelik La Weii’. Lagu ni pun OK lah,” katanya.

 Perdana Menteri berkata suasana baharu ini tidak bermakna umat Islam di negara ini tidak dapat merayakan Aidilfitri, yang dijangka disambut pada 24 Mei, dalam suasana ceria dan begitu juga Pesta Kaamatan pada 30 dan 31 Mei manakala Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun.  

Katanya  ziarah menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

“Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka. Setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup hidung dan mulut, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan pensanitasi tangan sepanjang sambutan perayaan ini.

“Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan saranan Kementerian Kesihatan supaya orang ramai mengelak daripada berada di tempat sesak atau tertutup serta mengamalkan penjarakan sosial ketika bersembang dengan tetamu.

Terdahulu, Perdana Menteri mengucapkan selamat menyambut Nuzul Al-Quran dan mendoakan semua umat Islam di Malaysia dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Muhyiddin turut mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada golongan ibu yang meraikannya hari ini. 

“Insya-Allah, kita berdoa mudah-mudahan kita akan berjaya memerangi wabak COVID 19 bersama-sama,” katanya.

BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1083