KOTA KINABALU: Sejajar dengan pengumuman kerajaan yang membenarkan pelajar universiti pulang ke rumah mulai 27 April lalu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memaksimumkan usaha dalam memastikan pemeriksaan kesihatan terhadap pelajar dilaksanakan dan diselesaikan sebelum mendapat kebenaran pulang ke rumah masing-masing.
Pasukan Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis Covid-19 UMS yang dianggotai oleh pakar dan para profesional perubatan dan kesihatan dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah bertanggungjawab dalam mengatur proses saringan yang melibatkan hampir 6,000 pelajar bermula minggu lalu.
Pasukan yang diketuai oleh Dekan FPSK Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree telah menggembleng lebih 100 anggota profesional perubatan dan kesihatan termasuk doktor, jururawat dan juruteknologi makmal perubatan UMS untuk menjalankan saringan kesihatan di ketiga-tiga kampus UMS, iaitu kampus induk UMS Kota Kinabalu, UMS Kampus Antarabangsa Labuan dan UMS Kampus Sandakan.
Menurut Prof. Dr. Mohammad Saffree, terdapat lebih daripada 20 kawasan pemeriksaan yang disediakan di kesemua kolej kediaman universiti dan kawasan kediaman para pelajar bagi tujuan ini.
“Saringan kesihatan yang dijalankan adalah seiring dengan arahan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bersama Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu bagi memastikan kelancaran kebenaran keluar pelajar dari kampus universiti.
“Kelulusan kebenaran keluar dari UMS diberikan berdasarkan empat komponen utama saringan yang meliputi penilaian gejala, penilaian suhu, pemeriksaan klinikal dan persampelan COVID-19,” katanya.
Prof. Dr. Mohammad Saffree menambah, ‘UMS-Shields’ satu aplikasi web yang dibangunkan oleh pensyarah FPSK Dr Fatimah Ahmedy dengan kerjasama Pusat Pengurusan Data dan Maklumat UMS, telah digunakan bagi memudahkan saringan kesihatan berdasarkan dengan modul ‘Exit Screening Tool’ yang terdapat dalam aplikasi itu.
“Interaksi yang lancar antara pasukan amat ditekankan agar penilaian fizikal dan klinikal yang dilakukan dapat diterjemahkan ke dalam sistem UMS-Shields dengan sempurna sebelum pengesahan saringan kesihatan diperoleh.
“Selepas penilaian gejala para pelajar, pemeriksaan suhu dikendalikan dengan efisien melalui kerjasama pasukan jururawat dari kedua-dua HUMS dan FPSK.
“Lebih 20 juruteknologi makmal perubatan juga telah membantu dalam mempercepatkan proses pensampelan swab serta bekerjasama dengan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu bagi mendapatkan keputusan sampel,” katanya.
Katanya, pemeriksaan klinikal difokuskan terhadap pelajar yang berkemungkinan untuk mempunyai gejala sebelum mendapat pengesahan.
Beliau berkata kerjasama yang erat antara Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS dan pasukan perubatan telah menjamin perjalanan pulang para pelajar UMS dengan lancar serta meyakinkan para ibu bapa dalam memastikan ketibaan anak-anak mereka dengan selamat.
Destinasi pelajar berkenaan tidak terhad di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia mahupun Wilayah Persekutuan Labuan tetapi juga merangkumi destinasi antarabangsa seperti Indonesia yang dikoordinasikan melalui kerjasama erat bersama konsulat.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost