‘Mimpi Ngeri’ Sebaik Membuka Pintu Rumah

Keadaan kediaman Noor Hamiza yang berselerakan selepas dipecah masuk penjenayah. Gambar ihsan Noor Hamiza Mohamad

“Selepas memecah masuk, pencuri kunci pintu dan mangga seperti biasa dan buat rumah kami seperti rumah sendiri.

“Habis semua barang elektrik seperti televisyen, mesin basuh, penapis air berjenama disapunya termasuk tong gas.”

Demikian rintihan mangsa, Noor Hamiza Mohamad, 30, selepas rumahnya di Apartmen Harmoni, Damansara Damai dipecah masuk penjenayah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu apabila terkandas di kampungnya di Kuala Krai, Kelantan.

Noor Hamiza berkata, dia tiba di rumah sekitar jam 9 malam tadi selepas permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia diluluskan polis dan terkejut melihat rumahnya dipecah masuk.

“Pencuri itu boleh kunci pintu dan mangga seperti tiada apa yang berlaku, sebaik membuka pintu saya nampak tapak kaki berlumpur di lantai dan televisyen yang dipasang di dinding hilang.

“Selain itu, permainan video Sony Play Station 4 (PS4) milik suami juga hilang. Saya terus masuk ke bilik untuk melihat barang kemas dan semuanya tiada.

“Di dapur pula, mesin basuh dan penapis air berjenama termasuk tong gas juga hilang. Memang pencuri seronok buat kerja dan masuk ke rumah saya banyak kali untuk mengangkat semua peralatan ini,” kata ibu kepada dua anak itu.

Menceritakan kejadian itu, Noor Hamiza berkata, dia meninggalkan anaknya berusia tiga dan lima tahun di kampung sejak Februari lalu selepas ke Indonesia.

“Sebaik pulang dari Indonesia pada 1 Mac lalu, saya menjalani kuarantin diri selama dua minggu manakala suami pula dikehendaki ke Sabah atas tuntutan kerja.

“Selepas tamat kuarantin diri, saya dan suami bercadang untuk mengambil anak di kampung sebelum Perdana Menteri mengumumkan PKP dilaksanakan,” katanya yang juga seorang ejen insurans.

Katanya, dia pulang ke kampung pada 15 Mac iaitu tiga hari sebelum PKP diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Kami dah berkira-kira mahu pulang ke ibu kota selepas mengambil anak, tetapi tidak sempat berikutan 18 Mac, PKP fasa satu dikuatkuasakan dan semua jalan disekat.

“Jadi kami terkandas di kampung hampir dua bulan dan pulang ke ibu kota malam tadi sebelum dikejutkan dengan rumah dipecah masuk,” katanya.

Menurutnya, sepanjang ketiadaannya, dia ada meminta jirannya mengambil gambar pintu rumah bagi mengesan ada sebarang perbezaan.

“Jiran ada bagi gambar, saya boleh kenal pasti gambar berkenaan sama dengan keadaan saya tinggalkan rumah sebelum itu.

“Ini berikutan pencuri mengunci semula pintu dan tidak membiarkan ia terbuka begitu saja,” katanya.

Menurutnya, ketika berada di kampung, suaminya ada mendapat emel seperti ada orang cuba menceroboh PS4 miliknya.

“Tetapi kami tidak mengesyaki apa-apa berikutan jiran ada bagi gambar keadaan rumah.

“Saya dimaklumkan oleh ketua blok, sebelum ini ada kejadian sama berlaku tetapi tidak seteruk saya dan pencuri ‘buat kerja’ ketika hujan apabila semua orang berada di rumah serta bunyi bising.

“Mungkin benar juga teori berkenaan berikutan terdapat tapak kaki berlumpur di lantai rumah,” katanya yang kerugian hampir RM25,000.

Noor Hamiza membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara kira-kira jam 10 malam tadi. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *