Hanya Tinggal 20 Kes Aktif Di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah kini hanya mempunyai 20 kes aktif Covid-19 daripada jumlah keseluruhan 317 kes sebelum ini selepas sebahagian besar pesakit pulih.

Hari ini, Sabah turut tidak mencatatkan sebarang kes baharu jangkitan wabak berkenaan yang memberi gambaran situasi penularan Covid-19 di negeri ini semakin terkawal.

Berdasarkan statistik yang dikongsi Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung menerusi Facebooknya, daerah yang masih mencatatkan kes aktif tertinggi setakat ini adalah Kota Kinabalu dengan enam kes aktif, iaitu kes yang masih dirawat di hospital, diikuti dengan Tawau sebanyak empat kes aktif, tiga kes di Penampang dan Keningau dua kes.

Sementara itu, Lahad Datu, Tuaran, Putatan, Ranau dan Beluran masing-masing merekodkan satu kes aktif.

Jumlah korban akibat jangkitan wabak Covid-19 di Sabah kekal empat kes iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau dan Tambunan.

Sabah juga masih berada di kedudukan keenam mencatatkan kes tertinggi Covid-19 di Malaysia. Berada di kedudukan tertinggi adalah Selangor dengan 1,596 kes, Kuala Lumpur (1,414), Johor (667), Negeri Sembilan (681); dan Sarawak (542).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan satu kes kematian pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 108 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat pertambahan 54 kes baharu Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 6,589 kes.

Manakala, seramai 65 pesakit telah pulih sepenuhnya hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 4,929 kes.

Sebanyak 18 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, enam orang pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *