SANDAKAN: Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong (gambar) berpendapat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengeluarkan kenyataan salah daripada segi undang-undang apabila mengatakan negeri-negeri terutama Sabah boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) tersebut, berkata menteri berkenaan perlu faham undang-undang sebelum mengatakan sesuatu yang boleh mengelirukan rakyat.
Dalam satu video langsung yang dimuatnaik di laman Facebook pada Selasa, Liew berkata di bawah Senarai Bersama (concurrent list) iaitu bawah jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kerajaan negeri-negeri mempunyai kuasa bersama dalam perkara kesihatan awam dan pencegahan penyakit.
“Ini bermakna negeri Sabah ada locus standi dan berkuasa untuk tidak mengikut pengumuman yang telah dibuat oleh pihak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Liew mendakwa bahawa pada masa sama kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri juga turut bercanggah dengan Perdana Menteri apabila mengatakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke-4 terbatal susulan permulaan PKPB.
Menurut Liew, kenyataan sedemikian tidak pernah dibuat oleh Perdana Menteri semasa ia mengumumkannya pada 1 Mei 2020.
“Perdana Menteri tidak ada kata PKP4 ini terbatal. Ini bermakna PKP ini akan terus berkuatkuasa hingga 12 Mei depan.
“Kita dapat lihat Kerajaan PN – GPS ini telah gagal mencegah dan mengawal wabak dengan baik, menteri-menteri yang masuk dari belakang pintu ini bolehlah keluar dari pintu belakang juga dan memberi ruang kepada menteri yang lebih cekap dan sesuai untuk menerajui jawatan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Liew mendakwa mereka juga tidak faham bahawa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang lebih dikenali sebagai Akta 342 ini adalah bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit supaya kesihatan dan keselamatan rakyat terjaga.
Katanya, keputusan membuka sektor ekonomi pada 4 Mei lepas menerima banyak bantahan kerana kerajaan sedia ada tidak mencegah dan mengawal wabak Covid-19 tetapi tergesa-gesa membuat keputusan yang tidak wajar itu.
“Saya rasa lebih baik mereka letak jawatan dan beri tanggungjawab berkenaan kepada mereka yang mampu dan berkelayakan.
“Jangan sesekali mempermainkan nasib dan nyawa rakyat,” tegasnya. – Harian Ekspres