Petugas Kesihatan Diberi Cuti Rehat Minggu Depan

PUTRAJAYA: Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diberi cuti rehat dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi selain khidmat kaunseling bagi memulihkan semangat mereka berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka bekerja keras tanpa henti sejak penularan jangkitan Covid-19, selama lima bulan.

“Kita di KKM bekerja siang malam tak berhenti sejak lima bulan, tidak kenal hari minggu dan hari bekerja.

“Apa yang pasti hari ini kita nampak keputusan dan hasil daripada pengorbanan kita, kes semakin berkurangan. Penggunaan wad dan ICU (Unit Rawatan Rapi) juga semakin berkurangan.

“Mungkin dalam masa ini kita akan menggunakan seminggu dua untuk kita memberi ‘time off’ kepada warga kerja KKM secara bergilir-gilir,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Bagi khidmat kaunseling katanya, petugas kesihatan akan dibantu mempertahankan diri menghadapi kemungkinan peningkatan kes Covid-19. – HMetro

6876