Kerajaan Persekutuan Jangan Buat Keputusan Sendiri, Perlu Libatkan Negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap pandangan kerajaan negeri akan diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di peringkat Persekutuan diumumkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, Kerajaan Persekutuan perlu berhubung dan berbincang dengan kerajaan negeri sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Beliau berkata, perbincangan penting kerana akhirnya keputusan yang dibuat itu perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Shafie Apdal (kanan) menerima sumbangan Covid-19 daripada beberapa organisasi di Kota Kinabalu hari ini.

“Kita yang akan melaksanakan keputusan dibuat oleh mereka jadi, pandangan kita perlu diambil kira.
“Mereka kena tahu dan faham keadaan persekitaran negeri sama ada boleh melaksanakan secara terus atau tidak, sebaik sahaja keputusan diumumkan.

“Itu yang saya minta supaya berikan masa kepada kerajaan negeri untuk membuat persediaan sebelum pelaksanaan dibuat,” katanya ketika mengulas mengenai pendirian kerajaan negeri mengenai pelaksanaan PKPB seperti diumumkan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Barangan Keperluan Perubatan yang disumbangkan oleh Yayasan Osimal, MSIC Life Insurance Berhad dan Caring Pharmacy.

Menurutnya, biarpun ada yang menyatakan perbincangan sudah dilakukan, namun di peringkat negeri Sabah, tiada sebarang makluman diberikan.

Mohd. Shafie berkata, memang mesyuarat menteri-menteri kanan diadakan setiap hari tetapi tidak melibatkan pimpinan negeri.

Atas sebab itu, beliau meminta biarpun tidak dibabitkan dalam mesyuarat, namun sekurang-kurangnya maklumkan kepada kerajaan negeri tentang apa keputusan yang bakal diambil.

“Janganlah lepas buat keputusan, minta kerajaan negeri ikut. Jangan buat begitu, kena juga lihat kapasiti dan persekitaran kita duluan.

“Berbincang dengan kita sama ada kita mempunyai kapasiti untuk laksanakan secara serta-merta. Ini tidak berhubung dengan saya pun,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan sektor ekonomi berkaitan yang akan dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir 12 Mei ini.

Katanya, kerajaan akan melihat sektor berkaitan yang boleh dibuka semasa pelaksanaan PKPB seperti sektor keselamatan makanan, pengangkutan awam, minyak dan gas serta beberapa sektor yang berkepentingan lain.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *