Kami Bukan Nak Cari Gaduh, Kata Shafie Kerana Enggan Laksana PKPB

Shafie Apdal (kanan) menerima sumbangan Covid-19 daripada beberapa organisasi di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata negeri itu tidak akan berundur daripada pendiriannya untuk meneruskan perintah kawalan pergerakan (PKP), walaupun Putrajaya membenarkan kebanyakan perniagaan beroperasi semula.

Dalam respons terhadap amaran Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali semalam, Shafie berkata, Sabah bukannya cuba cari gaduh dengan kerajaan persekutuan.

Sebaliknya, beliau berkata, ia memfokuskan usaha menyelamatkan nyawa.

“Pendirian kita agak jelas. Ini bukan waktunya kita nak gaduh tentang siapa ada kuasa.

“Saya boleh cakap (mengenai undang-undang). Saya pun ahli politik berpengalaman. Di Parlimen berapa undang-undang kita gubal.

“Tetapi, jangan buang masa untuk itu. Kita perlu mara dan kita perlu tangani Covid-19 dan ekonomi. Kita tidak boleh lihat dari segi perniagaan saja, tetapi bukannya nyawa manusia,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, Azmin dilaporkan berkata, kerajaan negeri yang enggan mematuhi dasar persekutuan membuka semula ekonomi berdepan risiko disaman perniagaan bagi mendapatkan ganti rugi.

Ini kerana katanya, dasar kerajaan persekutuan sudah dijadikan undang-undang dan boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.

Bagaimanapun, Shafie berkata, beliau lebih takut disaman waris pesakit yang terkorban akibat Covid-19.

“Perniagaan mungkin kita boleh pulihkan, nyawa manusia tidak boleh dipulihkan. Kita tidak boleh menggantikannya selepas mereka meninggal dunia.”

Beliau turut menafikan Putrajaya pernah berunding dengan negeri itu untuk menggantikan PKP dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Sebelum pengumuman dibuat, tiada siapa yang berhubung dengan saya.

“Kita hanya tahu menerusi TV yang keputusan sudah dibuat.”

Katanya, rundingan sepatutnya diadakan dengan kerajaan negeri terlebih dahulu kerana “(Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump pun hubungi gabenor dia”.

“Kita yang akan melaksanakan keputusan yang dibuat mereka.

“Tetapi, sama ada mereka tahu dan faham keadaan di peringkat negeri ini boleh tak dilaksanakan apa yang mereka putuskan?” – FMT

10828