Sabah Lanjut Perintah Berkurung Di Esszone Hingga 20 Mei

KOTA KINABALU, 4 Mei: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir pada 6 petang esok dilanjutkan sehingga 20 Mei, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

Beliau berkata, susulan pelanjutan itu, penduduk diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan terbabit antara 6 petang sehingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

“Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara 6 petang sehingga 6 pagi pada tarikh yang dinyatakan,” menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zaini berkata perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan Daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, perintah berkurung itu dilanjutkan bagi memastikan kawasan perairan itu tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing di pulau-pulau peranginan.

Zaini berkata, berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata, perintah itu juga adalah bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya

BERNAMA

1659