PPM Rampas Petrol Cuba Diseludup Ke Negara Jiran

Kedua-dua suspek dan minyak petrol dibawa ke Pangkalan PPM Semporna.- Foto Ihsan PPM

SEMPORNA: Dua lelaki tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas disyaki cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran di perairan Semporna, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, anggota PPM Semporna berjaya memberkas suspek berumur 19 dan 42 tahun sedang membawa minyak petrol dipercayai menuju ke negara jiran.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata hasil tangkapan tersebut membawa kepada maklumat tempat penyimpanan barang seludup.

Foto Ihsan PPM

“Hasil maklumat yang diterima, sepasukan Unit Risikan Marin PPM Semporna membuat serbuan ke atas sebuah pondok tidak bernombor di Pulau Kulapuan dipercayai tempat penyimpanan barang seludup.

“Serbuan tersebut telah menemui sebanyak 705 liter minyak petrol, dua tong gas, dua bot laju dan tiga enjin sangkut berkuasa 85HP, 40HP, 15HP,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Pajeri berkata, modus operandi kegiatan itu, suspek membawa bekalan minyak petrol dalam kuantiti sedikit demi sedikit dari tanah besar Semporna dan mengumpulnya di pondok terbabit untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun, berdasarkan risikan dan pemantauan PPM serta maklumat orang awam, kegiatan mereka berjaya dihidu sebelum tangkapan dibuat.

Menurutnya, suspek dan barang rampasan tersebut dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya dan dianggarkan jumlah keseluruhan rampasan itu bernilai RM29,968.25.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dibaca bersama peraturan-peraturan kawalan bekalan. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta tiap seorang dan tiga tahun penjara,” katanya.- Utusan BOrneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *