COVID-19: Tawau & Lahad Datu Semakin Pulih

KOTA KINABALU: Penularan wabak Covid-19 di Tawau dan Lahad Datu, yang merupakan dua daerah paling teruk dilanda sebelum ini kini semakin pulih.

Menurut statistik terbaharu di Sabah, Tawau dilihat beransur pulih apabila hanya 16 kes aktif manakala 64 kes telah dilaporkan pulih.

Lahad Datu yang sebelum ini pernah merekodkan kes Covid-19 yang tertinggi di Sabah pada awal bulan Mac lalu kini hanya mempunyai lima kes aktif termasuk 37 pesakit yang sudah dilaporkan pulih daripada 43 jumlah keseluruhan.

Sehubungan itu, Kota Kinabalu yang juga merupakan zon merah turut menunjukkan perkembangan positif apabila hanya 13 kes aktif iaitu kes yang masih dirawat di hospital manakala 33 kes daripada 49 jumlah keseluruhan telah dilaporkan pulih.

Setakat ini, Sabah mencatat 315 kes dan daripada jumlah itu 251 telah dilaporkan pulih.

Pada 30 Mac lalu, Tawau diisytiharkan sebagai zon merah pertama Sabah apabila daerah itu mengatasi senarai bilangan kes positif di samping mencatatkan peningkatan ketara dalam kes.

Manakala pertambahan tiga kes baharu Covid-19 pada 18 April lalu menjadikan Lahad Datu mengikut jejak Tawau dalam zon merah.

Terdahulu, pada 21 Mac lalu, Tawau buat pertama kalinya mencatat kes tertinggi Covid-19 di negeri ini iaitu sebanyak 37 manakala Lahad Datu 32 kes.

Sehingga kini, Tawau kekal sebagai daerah yang tertinggi bagi kes jangkitan positif Covid-19.

Berdasarkan bilangan kes aktif semasa, kedua-dua daerah tersebut kini berada dalam zon kuning.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah banyak membantu dalam memaksimakan aktiviti kawalan dan pencegahan wabak pandemik Covid-19.

“PKP telah banyak membantu dalam memaksimakan aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 dan ini berjaya melandaikan lengkung kejadian kes.

“Oleh yang demikian, pergerakan besar-besaran melibatkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) pulang ke kampung halaman harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan pencapaian setakat ini dapat dikekalkan demi kesejahteraan seluruh rakyat Sabah,”katanya.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *