
TAWAU: Tindakan seorang lelaki yang membuka pita keselamatan dan kon penghadang jalan yang dipasang pihak berkuasa dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengundang padah apabila dia ditahan polis di kediamannya, dekat sini, petang semalam.
Penahanan lelaki warga Pakistan berumur 30 tahun itu susulan perbuatannya yang dirakam pengguna jalan raya di kawasan simpang empat lampu isyarat di Jalan Masjid, di sini, jam 1.50 tengahari sebelum tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata bertindak daripada aduan orang awam itu, suspek telah ditahan di kediamannya di sebuah taman perumahan, di sini, jam 3 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang menaiki kenderaan bertindak membuka pita keselamatan bersama kon penghadang jalan yang dipasang di kawasan itu bagi mengawal pergerakan penduduk setempat.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawalan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020 dan Seksyen 26 (2) Akta Polis1967,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, berikutan kejadian itu pihaknya telah mengambil tindakan drastik dengan memasang kawad berduri di laluan berkenaan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak sewenang-wenangnya mengalih atau mengganggu gugat mana-mana penghadang jalan yang dipasang pihak berkuasa sepanjang tempoh PKP.
“Saya ingin tegaskan, sila patuhi arahan kerana perbuatan sedemikian adalah kesalahan serius dan mana-mana individu yang didapati terbabit melakukannya akan didakwa di mahkamah,” katanya.
SumbeR: Berita Harian