Wanita Yang ‘Disahkan’ Meninggal Dunia Akibat COVID-19 Hidup Kembali

Alba Maruri

QUITO: Mengejutkan apabila seorang wanita di Ecuador yang disahkan meninggal dunia dipercayai akibat Covid-19 tiba-tiba hidup kembali.

Bagaimanapun, kejadian itu melegakan ahli keluarganya yang sebelum itu bersedia membawa pulang jenazahnya untuk dikebumikan.

Menerusi laporan Kompas.com, Alba Maruri dikejarkan ke hospital pada 27 Mac lalu selepas mengalami kesukaran bernafas dan demam.

The Independent pula melaporkan selepas dimasukkan ke hospital, wanita itu tidak sedarkan diri selama tiga minggu.

Bagaimanapun, ahli keluarganya tidak boleh melawat wanita itu berikutan perintah berkurung di negara itu.

Dia hanya disyaki dijangkiti Covid-19 tetapi sebenarnya tidak pernah menjalani ujian pengesahan.

Selepas disahkan meninggal dunia, ahli keluarganya ke hospital untuk menuntut jenazah, namun takut untuk menyentuh dan mendekatinya.

Disebabkan terlalu berhati-hati, ahli keluarga hanya membuat pengesahan mayat Maruri menerusi bahagian punggung saja tanpa melihat wajah.

Saudaranya, Jaime Morla yang ke hospital untuk menuntut jenazah terlalu takut melihat wajah mak ciknya.

“Saya hanya berada 1.5 meter dari mayat mak cik. Mayat itu mempunyai rambut dan kulit, malah ada kesan luka yang sama dengan mak cik,” katanya. – Agensi

20022