Pelajar Balik Ke Sabah Perlu Lengkapkan Borang Secara Jujur

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi

KOTA KINABALU: Pelajar yang pulang ke Sabah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diminta melengkapkan Borang Pengisytiharan Kesihatan Kemasukan Ke Sabah dengan jujur.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Christina Rundi berkata saringan kesihatan akan dibuat di pintu masuk dan sekiranya perlu, pelajar akan dirujuk ke hospital atau menjalani perintah kuarantin selama 14 hari.

“Arahan ini juga terpakai untuk semua penumpang yang masuk ke Sabah dari luar negeri atau negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Christina berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengawal penularan COVID-19, termasuk menempatkan individu yang datang dari luar negeri Sabah di pusat kuarantin atau kuarantin di rumah.

“Walaupun saringan suhu menggunakan pengimbas haba dilakukan di pintu masuk, langkah sebegini adalah perlu kerana banyak kes COVID-19 dilaporkan di Sabah tidak menunjukkan sebarang gejala atau hanya bergejala ringan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Christina berkata kutipan bekalan darah di Tabung Darah hospital di negeri itu berkurangan 24 peratus sejak pelaksanaan PKP kerana hampir 98 peratus penganjuran kempen derma darah dibatalkan.

“Keadaan ini dijangka berlarutan sepanjang Ramadan dan menjelang perayaan,” katanya.

Dr Christina berkata aktiviti derma darah perlu diteruskan bagi memastikan bekalan darah di hospital tidak terjejas akibat COVID-19, serta memenuhi keperluan pesakit Thalasaemia dan mereka yang menjalani pembedahan. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengeluarkan garis panduan tatacara program derma darah bagi menjamin keselamatan penderma semasa aktiviti derma darah berjalan.

“Derma darah secara temujanji diutamakan bagi mengekalkan penjarakan sosial dan mengawal keadaan semasa aktiviti itu dijalankan,” katanya.

Dr Christina berkata Unit Tabung Darah Hospital juga menyediakan perkhidmatan mengambil dan menghantar kumpulan kecil penderma darah ke hospital atau lokasi pendermaan darah berlangsung.

Beliau turut menasihati penderma darah agar memastikan diri mereka berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *