KPD Sipitang Ketuai Serbuan Lelaki Miliki Peluru

Suspek yang ditahan serta rampasan peluru dalam serbuan yang diketuai oleh KPD Sipitang.

SIPITANG: Ketua Polis Daerah (KPD) Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berjaya mengetuai pasukannya menyerbu sebuah rumah di Kampung Mendulong di sini sebelum merampas dua butir peluru di rumah terbabit.

Champin berkata serbuan kira-kira jam 11.30 pagi itu dijalankan bersama sepasukan anggota di sebuah rumah yang dihuni seorang lelaki berumur 40 tahun.

“Semasa serbuan dijalankan polis berjaya menemukan dua butir peluru masing-masing jenis 12 bore dan peluru hidup jenis 5.56mm ball di atas tempat tidur suspek.

“Semasa soal siasat dijalankan suspek mengakui memiliki peluru jenis F2 Big Yame 12 bore bagaimanapun tidak mengakui peluru hidup 5.56mm ball itu adalah miliknya,” katanya.

Beliau berkata suspek lelaki yang belum berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan yang beralamat di Kampung Mendulong itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke IPD Sipitang untuk tindakan lanjut.

“Kita juga sedang menjalankan siasatan bagi mengesan senjata api buatan sendiri (bakakuk) jika dimiliki suspek selain mengenalpasti sumber pemerolehan peluru terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Sementara itu Champin berkata pihaknya juga menahan rakan suspek yang memiliki peluru 12 bore.

“Suspek ini didapati terlibat dalam kecurian getah selain terbabit dalam kes kecurian di sekitar kampung berkenaan.

“Suspek juga ditahan semasa sedang merayau-rayai semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mengaku menagih dadah beberapa hari sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek akan dibawa kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Sipitang kerana terlibat dalam aktiviti penagihan dadah. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *