Covid-19: Doktor Tak Sempat Nikah

DrMichael (kiri) sepatutnya berkahwin pada 11 April lalu, namun ditunda kerana Covid-19 melanda Indonesia. – Foto Agensi

JAKARTA: Seorang doktor muda yang sebelum ini sanggup menangguhkan pernikahan demi merawat pesakit Covid-19, maut akibat wabak berkenaan, Sabtu lalu.

Dr Michael Robert Marampe, 28, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Rumah Sakit Polri Kramat Jati di Bogor.

Berita kematiannya disahkan Pengurus Besar Ikatan Doktor Indonesia (IDI), Dr Halik Malik.

Dr Michael yang sebelum ini bertugas di Rumah Sakit Permata Bunda, Cibitung, Bekasi, pada awalnya merancang bernikah dengan gadis pilihannya, pada 11 April lalu.

Bagaimanapun, beliau menunda tarikh perkahwinan itu kerana perlu bertugas susulan penularan wabak Covid-19 di Indonesia.

Tribune.news.com melaporkan Dr Michael juga berhasrat memperdengarkan lagu ciptaannya buat pertama kali untuk isteri pada majlis pernikahan mereka.

Selain itu, ketika menerima rawatan, Dr Michael sempat memberikan kata semangat kepada rakan seperjuangan di barisan hadapan yang masih bergelut merawat pesakit.

Doktor itu dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan dan menerima rawatan selama lapan hari di hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam pada itu, Dr Halik memaklumkan setakat ini, 24 doktor di seluruh republik itu meninggal dunia akibat Covid-19.

Setakat jam 3 petang semalam, Indonesia merekodkan 8,882 kes jangkitan dengan 743 kematian.- Agensi

2115