Bekalan Darah Di Sabah Berkurangan

KOTA KINABALU: Kutipan bekalan darah di Sabah berkurangan 24 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, ia susulan hampir 98 peratus kempen derma darah bergerak anjuran pelbagai pihak terpaksa dibatalkan.

Katanya, keadaan itu dijangka berlarutan sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan.

“Program derma darah perlu diteruskan bagi memastikan bekalan darah di semua hospital tidak terjejas akibat wabak Covid-19 kerana masih terdapat pesakit Thalasaemia dan individu yang menjalani pembedahan memerlukan bekalan darah.

“Satu garis panduan tatacara pengendalian aktiviti pendermaan darah dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin keselamatan penderma,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Christina berkata, pendermaan darah secara temujanji adalah diutamakan untuk mengekalkan penjarakan sosial.

Menurutnya, Unit Tabung Darah Hospital juga menyediakan perkhidmatan mengambil dan menghantar kumpulan kecil penderma darah ke hospital atau lokasi pendermaan darah. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *