Bapa Khabib Dikhuatiri Positif COVID-19

Khabib Nurmagomedov bersama bapanya, Abdulmanap.

LONDON: Bapa juara lightweight UFC Khabib Nurmagomedov, Abdulmanap dilaporkan dimasukkan ke wad susulan selesema dan pneumonia (radang).

Wartawan Russia, Ramazan Rabadanov melaporkan berita berkenaan dengan jurulatih dari Republik Dagestan itu dilaporkan berada di sebuah hospital di Makhachkala.

Memuatnaik gambar di Instagram dengan imej dirinya bersama Abdulmanap, Rabadanov berkata: “Dia hampir selesai membina taman, membuang sampah, menanam pokok, meletak kerusi di sepanjang jalan dan semalam, tidak kelihatan di taman.

“Harap-harap pneumonia tidak berlaku ke atas kawan saya dan dia dapat kembali ke taman semula.”

Berdasarkan apa dikatakan Rabadanov, Abdulmanap belum lagi disahkan dengan jangkitan wabak COVID-19; meskipun simptom dihadapinya hampir sama dengan pandemik berkenaan.

Dalam satu temubual, Rabadanov berkata: “Abdulmanap ketika ini berada di Makhachkala, di sebuah hospital kedua di bandar berkenaan.

“Belum disahkan COVID-19, mereka hanya berkata selesema. Tiada yang dibenarkan untuk melawatnya.”

Lebih membimbangkan, Rabadanov turut mendedahkan ramai petinju yang rapat dengan Abdulmanaf dikatakan turut jatuh sakit.

“Juara dunia, Shamil Zavurov juga sedang sakit. Mereka juga berkata, ada lagi atlet yang mengalami gejala,” katanya.

Khabib ataupun pihak pengurusannya tidak dapat memberi komen berkaitan laporan berkenaan. Khabib kembali ke kampungnya di Dagestan susulan wabak COVID-19 – isu yang mendorong kepada pembatalan aksinya bersama Tony Ferguson.

Abdulmanap, 58, adalah pencetus kejayaan Khabib dalam arena seni mempertahankan diri apabila mula melatihnya sejak kecil lagi. – AGENSI

710