Ingkar PKP, Warga Emas Antara Ditahan Main Sabung Ayam, Judi Ketam-Ketam Di Tenom

Polis menahan tiga lelaki kerana ingkar PKP dengan melakukan sabung ayam dan judi ketam-ketam di Tenom. – Foto Juwan Riduan

TENOM: Walaupun menyedari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan, sekumpulan lelaki termasuk berusia 80 tahun bukan sahaja ingkar keluar rumah, malah berkumpul melakukan aktiviti sabung ayam dan judi ketam-ketam.

Bagaimanapun, tindakan sekumpulan lelaki itu membawa padah apabila diserbu polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, di sebuah kebun di Kampung Mampusu, di sini, jam 2.50 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid, berkata ketika tiba di lokasi itu, didapati antara 10 hingga 15 lelaki sedang berkumpul dipercayai sedang melakukan aktiviti sabung ayam.

“Menyedari kehadiran polis, semua mereka bertempiaran lari meninggalkan tempat berkenaan. Namun tiga lelaki berusia 55 hingga 80 tahun berjaya ditahan.

“Polis yang diketuai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tenom Inspektor Mohd Roezaidie turut merampas tiga ekor ayam sabung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap salah seorang ditahan menemui peralatan perjudian ketam-ketam.

“Siasatan awal mendapati semua suspek yang ditahan mengaku terbabit aktiviti sabung ayam dan judi ketam-ketam untuk menghilangkan bosan duduk di rumah.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Tenom untuk tindakan lanjut,” katanya.

Hasan berkata, selain melakukan aktiviti sabung ayam dan judi ketam-ketam, suspek juga gagal memberi sebab munasabah keluar dan berada di lokasi berkenaan.

“Kes siasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan (No.3) 2020.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – Berita Harian

8256