Jangan Tamat Khidmat Atau Potong Gaji Kakitangan GLC Sabah

Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah dinasihatkan supaya tidak menghentikan atau menamatkan khidmat ataupun memotong gaji kakitangan masing-masing, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, ini bagi memastikan kakitangan terbabit masih memperoleh gaji untuk menampung kehidupan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mencabar ini.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri akan mengambil beberapa langkah proaktif dalam membantu syarikat-syarikat GLC bukan sahaja bagi memulihkan pengurusan kewangan tetapi juga pentadbiran sekali gus memastikan pekerja dikekalkan.

“Syarikat-syarikat GLC juga diminta mengambil beberapa langkah termasuk memberi input kepada Kementerian Kewangan (Sabah) tentang apa sebenarnya keperluan mereka dalam usaha meringankan beban operasi selepas PKP berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan bantuan kewangan bagi Tabung Covid-19 Sabah daripada syarikat GLC, syarikat swasta, dewan perniagaan dan badan-badan berkanun dalam satu majlis ringkas di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Sebanyak tujuh syarikat berkaitan tampil menghulurkan bantuan kewangan termasuk Sawit Kinabalu Sdn Bhd; Perbadanan Pinjaman Sabah; Sabah Fish Marketing Sdn Bhd dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia pada majlis itu.

Turut memberi sumbangan adalah Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah; Borneo Development Corporation (Sabah) Sdn Bhd dan Timatch Sdn Bhd.

Mohd Shafie berkata, Tabung Covid-19 Sabah berjaya mengumpul RM15.92 juta sejak ia dilancarkan pada Mac lepas bagi membantu rakyat terkesan dalam tempoh (PKP) selain menampung keperluan petugas barisan hadapan di negeri ini.

“Setakat ini, kerajaan negeri telah mengutip RM11 juta pada minggu lepas dan pada hari ini sebanyak RM4.92 juta disumbangkan oleh pelbagai badan GLC dan juga pihak swasta,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, setakat ini seramai 358,031 rakyat Sabah telah menerima bantuan Covid-19 di seluruh negeri melibatkan peruntukan RM71.4 juta.

“Saya juga telah memaklumkan kepada pejabat daerah selain menggerakkan kira-kira 3,000 anggota Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat untuk menjangkau seramai mungkin rakyat yang berada di daerah terpencil supaya mereka ini dapat menerima bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga akan memberi bantuan kewangan RM500 kepada anggota perkhidmatan awam gred 54 ke bawah termasuk anggota perkhidmatan bergaji harian dan bantuan ini akan disalurkan pada bulan depan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *