COVID-19: Eropah Catat Lebih 1 Juta Kes Positif

Petugas perubatan memeriksa pesakit yang disyaki menghidap COVID-19 di rumahnya di Madrid. – Foto AFP

SOLNA (SWEDEN): Pusat Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) mengesahkan bahawa benua itu kini mencatatkan lebih sejuta kes positif dan hampir 100,000 kematian akibat wabak COVID-19.

Menurut statistik dalam laman web ECDC, Sepanyol merekodkan jumlah jangkitan tertinggi membabitkan 191,726 kes, diikuti Itali, Jerman, Britain dan Perancis.

Itali bagaimanapun melaporkan sebanyak 23,227 korban yang mengatasi Sepanyol, Perancis, Britain dan Belgium.

Perangkaan itu menunjukkan Eropah menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan kes jangkitan pada peringkat global dan lebih separuh daripada jumlah kematian.

Sementara itu di Amerika Syarikat (AS) pula, gabenor negeri saling bertikam lidah dengan Presiden, Donald Trump, berhubung dakwaan bahawa mereka sudah menjalankan ujian yang mencukupi dan perlu dilepaskan daripada perintah berkurung.

Jumlah kematian global akibat pandemik berkenaan kini mencecah lebih 164,000 mangsa. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *