Anggap 1,000 Mayat Positif Covid-19

Petugas kesihatan Indonesia membuat pengebumian mengikut prosedur pesakit Covid-19 di Jakarta.

JAKARTA: Lebih 1,000 mayat dikebumikan di sini, mengikut prosedur seperti mana-mana pesakit yang dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun, kebanyakan daripada individu berkenaan sebenarnya masih belum diketahui status, sama ada dijangkiti wabak berkenaan.

Ini memandangkan makmal di negara itu kini menghadapi masalah untuk memproses jumlah sampel yang banyak bagi ujian pengesahan wabak berkenaan.

Jumaat lalu, sebanyak 246 pesakit disahkan maut akibat Covid-19 di sini, sekali gus hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kematian di Indonesia, pada hari sama.

Namun, pentadbir Jakarta memberi arahan supaya mayat pesakit dalam pemerhatian (PUS) dan pesakit dalam siasatan (PUI) juga perlu dikebumikan mengikut prosedur pesakit Covid-19.

Mengikut amalan berkenaan, mayat dan keranda akan dibalut menggunakan plastik, manakala pekerja pengebumian perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan, topeng muka dan baju khas.

Jakarta Post melaporkan seorang lelaki bernama Dharma berkata, ibunya meninggal dunia pada 9 April lalu selepas dimasukkan di Hospital Umum Persahabatan, di timur Jakarta.

Lelaki berusia 21 tahun dari Kampung Melayu itu berkata, pihak hospital menyatakan sebab kematian ibunya akibat masalah pernafasan kerana masih menunggu keputusan ujian Covid-19.

“Hospital memaklumkan keputusan ujian hanya akan diperoleh antara dua hingga 10 hari, namun kini sudah 10 hari,” katanya.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata, prosedur berkenaan adalah untuk mengekang penularan wabak. – Agensi

1729