Tidak Diketahui Punca Jangkitan Kes Baharu Covid-19 Di Lahad Datu & Sandakan

KOTA KINABALU: Tiga kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan di Lahad Datu dan satu kes di Sandakan semalam merupakan kes sporadik, iaitu kes yang tidak diketahui asal usul dan punca jangkitan.

Ketiga-tiga kes di Lahad Datu ini dikesan melalui aktiviti saringan bersasar (targeted screening) yang telah dilaksanakan pada 12 April lalu.

Manakala, satu kes baharu di Sandakan juga adalah kes sporadik.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Mengenai kluster anggota kesihatan, beliau berkata, tiga daripada 10 kes yang dilaporkan semalam melibatkan jangkitan terhadap kontak generasi pertama kluster berkenaan.

Tiga kes itu masing-masing satu di Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran.

Menurutnya, dua kes yang dilaporkan di Tawau semalam masing-masing terdiri daripada satu kes kluster tabligh lain-lain dan kontak generasi pertama kluster tabligh Masjid Sri Petaling.

Secara keseluruhan empat kluster dikesan di Tawau iaitu kluster tabligh lain-lain dengan 10 kes termasuk enam warga asing; kluster luar negara dua kes; kluster anggota kesihatan dua kes termasuk jangkitan kontak generasi pertama.

Untuk kluster Masjid Sri Petaling pula terdapat 67 kes termasuk kontak generasi pertama sebanyak 32 kes, generasi kedua dengan dua kes dan satu kes bagi generasi ketiga.

Sementara itu, kes baharu yang dilaporkan di Beaufort pula adalah dari kluster tabligh yang menghadiri perhimpunan di Makassar, Indonesia.

Sehingga semalam, sebanyak 303 kes dilaporkan di Sabah termasuk 168 kes yang pulih sepenuhnya.

Manakala kes kematian di negeri ini kekal dengan empat kes masing-masing dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes di Tawau dan Tambunan.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *