RANAU: Dua lelaki menjual air ketum secara terbuka di tepi jalan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Dumpiring, Kundasang di Ranau mengundang padah apabila ditahan pihak polis kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, kegiatan kedua suspek berusia 21 dan 31 tahun itu disedari pihak polis pada 5.40 petang ketika mengadakan rondaan.
Menurutnya, suspek melakukan kegiatan jual beli air ketum secara terbuka walaupun mengetahui perbuatan itu salah di sisi undang-undang.
“Polis turut merampas dua botol yang mengandungi tiga liter cecair dipercayai air ketum.
“Setakat ini, pihak polis sudah mengetahui sumber bekalan air ketum tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dihubungi hari ini.
Menurutnya, hasil soal siasat juga suspek mengaku menjual dengan harga RM30 sebotol (1.5 liter).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara empat tahun atau denda tidak melebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.”
“Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020 kerana ingkar PKP,” katanya.
Menurut Sammy, suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk siasatan lanjut. – HMetro