PKP: Miliki Ganja, Pasangan Kekasih Antara 3 Ditahan

Mohd Haris melakukan pemeriksaan. Foto IPD Penampang

PENAMPANG: Pasangan kekasih antara tiga ditahan kerana merempuh sekatan jalan raya Op Covid-19 serta memiliki dadah jenis ganja di Jalan Penampang, berhampiran bangunan Blue 7, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, kejadian pertama pada jam 6.30 petang, membabitkan seorang lelaki berusia 64 tahun disyaki mabuk merempuh sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Penampang.

“Selepas kejadian itu, lelaki terbabit ditahan oleh petugas Op Covid-19 dan suspek mendakwa tidak menyedari sekatan jalan raya berkenaan.

Mohd Haris melakukan pemeriksaan ketika melakukan tinjauan di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Penampang – Foto IPD Penampang

“Suspek turut mengaku meminum minuman keras seorang diri di dalam kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya selepas membeli barangan keperluan dapur di salah sebuah pasar raya di daerah ini,” katanya pada sidang media di sekatan jalan raya Op Covid-19, Jalan Penampang, di sini, hari ini.

Mohd Haris berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan sama ada anggota bertugas ataupun pemandu itu sendiri.

“Bagaimanapun barang peralatan seperti kon dan lampu polis rosak. Suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

“Dalam pada itu, kira-kira sejam sebelum insiden itu, pihaknya turut berjaya menahan pasangan kekasih selepas didapati positif dadah dan memiliki dadah jenis ganja bernilai RM600 mengikut harga pasaran semasa.

Mohd Haris ketika ditemui dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Penampang – Foto IPD Penampang

“Lelaki disyaki mabuk disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala pasangan kekasih berusia 20-an ditahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 15 akta yang sama.

“Pemandu mabuk dan pasangan kekasih itu turut disiasat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), IPD Penampang sudah menahan seramai 54 individu dan membuka sebanyak 30 kertas siasatan.

Katanya, sebahagian tangkapan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Sehubungan itu, kita mengingatkan sekali lagi kepada masyarakat supaya mengurangkan pergerakan keluar rumah kecuali ada sebarang urusan penting.

“Kita juga tidak menggalakkan masyarakat di daerah ini merentasi sempadan daerah Kota Kinabalu atau Papar bagi mengawal penularan wabak Covid-19. Jika didapati ingkar, polis akan bertindak lebih tegas dan menahan mereka yang masih berdegil,” katanya. – Berita Sabah

1370