KOTA KINABALU: Sebanyak 102 lokasi awam sekitar bandar raya ini sudah dilakukan proses nyah kuman setakat hari ini.
Antara lokasi terbabit ialah pasar awam, pasar harian, masjid, surau dan bangunan jabatan kerajaan.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata langkah terbabit diambil sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19.
“Kita juga sudah menetapkan masa kawalan operasi bagi semua pasar iaitu antara 6 pagi hingga 2 petang.
“Pita keselamatan juga dipasang untuk menyusun atur bilangan pengunjung yang masuk ke dalam pasar bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.
“Kita menasihatkan pengunjung agar merancang masa pembelian untuk mengelakkan pasar menjadi sesak khususnya pada waktu puncak antara 6.30 pagi hingga 9 pagi,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.
Nordin berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tetap melaksanakan kerja pembersihan sekitar bandar raya ini sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Nordin berkata masa operasi kakitangan pembersihan tetap melaksanakan tugasan masing-masing mengikut jadual ditetapkan seperti biasa.
Menurut beliau, kerja pembersihan awam dijalankan seawal jam 6 pagi hingga 11 pagi di pusat bandar manakala kawasan luar pusat bandar bermula jam 7 pagi hingga 11 pagi.
“Operasi pengutipan sampah di kawasan perumahan pula dijadualkan tiga kali seminggu dan kawasan komersial pada setiap hari.
“Semua petugas DBKK turut dibekalkan dengan cecair basmi kuman, penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan.
“Selain itu, perkhidmatan awam lain seperti pembersihan parit dan pemotongan rumput juga diteruskan,” katanya.
SumbeR: Harian Metro