COVID-19: Polis Tingkat Penguatkuasaan PKP Di Felda Sahabat, Lahad Datu

Gerbang Kompleks Felda Sahabat, Lahad Datu

LAHAD DATU, 19 April: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Felda Sahabat, Tungku, dekat sini ditingkatkan berikutan terdapat 11 kes positif COVID-19 yang dikesan sehingga kini di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan berikutan itu sebarang pergerakan keluar atau masuk tidak dibenarkan di Felda Sahabat ketika ini.

Beliau berkata langkah itu berterusan sehingga tugas-tugas penyaringan dan penyahkuman yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan terhadap semua penduduk Felda itu selesai.

“Semalam, tiga individu yang disahkan positif COVID-19 di Lahad Datu adalah penduduk di kawasan peneroka Felda, dan kita percaya mereka ini atau kontak rapat mereka ada membuat pergerakan ke kawasan sekitar Felda yang lain termasuk ke Bandar Cenderawasih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya aktiviti ladang dan kilang di kawasan Felda juga akan dihentikan manakala operasi pasaraya, kedai makan dan pasar awam akan dihadkan.

Nasri berkata satu sistem penggiliran akan diwujudkan bagi memudahkan urusan pembelian dan penghantaran barang-barang keperluan di kawasan Felda itu.

Sehubungan itu beliau menasihatkan masyarakat Felda berkenaan supaya terus memberi kerjasama dan berada di rumah masing-masing sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan.

Beliau seterusnya menafikan dakwaan kawasan Felda itu akan diisytiharkan sebagai kawasan ‘sekatan pergerakan 100 peratus’ seperti yang tular di aplikasi WhatsApp.

“Pihak polis cuma mengambil tindakan meningkatkan penguatkuasaan PKP di kawasan Felda berkenaan,” katanya.

BERNAMA

1041