Polis Lahad Datu Jejaki Lelaki Filipina Lari, Elak Dikuarantin

Lelaki warga Filipina diburu selepas lari dari arahan kuarantin. – Foto Ihsan Polis

LAHAD DATU, 18 April: Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Filipina yang melarikan diri apabila diarah menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Felda Residence Sahabat 16 dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata lelaki bernama Jul yang berusia 30 tahun itu melarikan diri selepas membuat pemeriksaan saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Felda Sahabat dekat sini pada 9 pagi.

“Laporan berkaitan kejadian itu dibuat oleh staf klinik kesihatan berkenaan pada 9.25 malam tadi.

“Difahamkan lelaki berkenaan hadir bersama isterinya ke klinik itu dan sebaik sampel ujian saringan selesai diambil, lelaki itu diarahkan Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) untuk dimasukkan ke pusat kuarantin namun semasa proses menguruskan kemasukannya ke pusat kuarantin, lelaki itu dilaporkan melarikan diri,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata polis cuba menjejakinya dengan memeriksa tempat kediaman pasangan itu namun difahamkan yang dia telah melarikan diri bersama isterinya.

Sehubungan itu, Nasri meminta orang ramai menyalurkan maklumat jika mengetahui di mana lelaki tersebut berada dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sharifah Nurlin Atiqah Wan Idrus di talian 014-5907309.

Katanya kes disiasat mengikut 270 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342)

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *