PKP: Jambatan Lama Tamparuli Ditutup

Jambatan Lama Tamparuli ditutup bagi memudahkan pemeriksaan kenderaan di Jalan Bontoi yang menghala ke Pekan Tamparuli. Foto Recqueal Raimi

TAMPARULI: Laluan Jambatan Lama Tamparuli di sini, ditutup sejak kelmarin memudahkan pemeriksaan kenderaan ketika fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Hamizi Halim berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terpaksa menutup laluan itu.

Katanya, hanya satu laluan dibuka bagi memasuki Pekan Tamparuli.

“Penutupan jambatan terbabit memudahkan pemeriksaan kenderaan yang masuk dan keluar di laluan berhampiran Kampung Bontoi.

“Selain itu, rondaan juga dijalankan di sekitar pekan termasuk kawasan premis dan bank bagi memastikan penduduk mematuhi PKP,” katanya.

Tinjauan di lokasi sebelum ini mendapati ramai penduduk berkumpul tanpa mengamalkan penjarakan sosial.

Pekerja penghantaran makanan, Helmi Morisin, 27, berkata, orang ramai yang membeli keperluan di premis tidak mengamalkan penjarakan sosial.

“Malah banyak kenderaan membawa lebih dua penumpang,” katanya.

Selepas satu daripada dua laluan utama ditutup sejak semalam, hanya pekerja syarikat dibenarkan beroperasi serta individu terdesak atau seorang pengguna kenderaan dibenarkan melepasi sekatan.- HMetro

580