Tawau Laksana Peraturan Gerak Mengikut Zon

TAWAU, 18 April: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tawau menetapkan enam zon untuk penduduk keluar membeli barangan keperluan dan urusan perbankan mengikut zon masing-masing sepanjang fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas, berkata pembahagian zon berkenaan adalah mengikut keperluan asas masyarakat seperti bekalan makanan dan perbankan, selain faktor mengehadkan jarak pergerakan penduduk di Tawau.

“Hal ini bagi mengelak orang ramai bertumpu di pusat bandar dan langkah ini dilaksankan selepas mengambil kira kedudukan dan fasiliti yang ada di setiap zon yang dilengkapi kemudahan seperti pasar raya, pasar, institusi kewangan, stesen minyak dan sebagainya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Berdasarkan kenyataan PKOB Daerah Tawau, penduduk di Zon 1 membabitkan kawasan Check Point sehingga Batu 8, disaran membeli barangan keperluan di Taman Sawit  Balung, Batu 15 serta Batu 8.

Bagi penduduk di Zon 2 dari Kampung Batu Payung sehingga ke Batu 5 dan Zon 3 (penduduk sekitar Batu 2 hingga Batu 4)  boleh berbelanja di kawasan zon masing-masing.

Zon 4 pula membabitkan Kongsi 10 hingga ke Sin On dan radius pergerakan zon ini meliputi Taman Semarak dan Jalan Kuhara bagi mendapatkan barangan keperluan harian termasuk bank di Batu 3.

Zon 5 meliputi penduduk Kampung Muhibbah, Taman Uni Villa, Taman Semarak, Taman Wawasan, Taman Ria 11, Pasir Putih hingga sekitar kawasan Sin On yang mempunyai kemudahan pasar raya, klinik kesihatan dan stesen minyak.

Zon 6 pula merujuk kepada penduduk Kalabakan, Merotai, Bombalai dan kawasan sekitar dan penduduk di zon ini mempunyai semua kemudahan kecuali institusi kewangan sekali gus kelonggaran diberikan kepada mereka untuk bergerak ke zon berhampiran bagi melakukan urusan kewangan masing-masing.

Tawau antara daerah di Malaysia dikategorikan sebagai zon merah dengan 79 kes positif COVID-19, bagaimamapun, sehingga kini terdapat 28 pesakit sudah sembuh.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *