COVID-19: 31 Kes Positif Baharu Kluster Petugas Kesihatan Sabah

PUTRAJAYA: Terdapat 31 kes positif COVID-19 baharu membabitkan kluster petugas kesihatan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster petugas kesihatan itu membabitkan tiga hospital di bawah kementerian iaitu Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas dan Hospital Keningau.

“Kes baharu itu termasuk dua kes yang dilaporkan hari ini. Kesemua kes masih dalam rawatan setakat ini.

“Kluster ini terdiri daripada 23 petugas kesihatan dan lapan ahli keluarga dan orang awam. Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 adalah positif pada 2 April bagi seorang kakitangan hospital yang melapor diri di Hospital Queen Elizabeth 2.

“Beliau didapati tidak sihat dan mempunyai gejala batuk dan selesema pada hari berkenaan. Siasatan dan saringan bagi kontak kakitangan terbabit sudah dijalankan. Jangkitan COVID-19 ini didapati positif bagi beberapa rakan setugas serta ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian COVID-19, di sini.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua pesakit di bawah kluster berkenaan masih berada di dalam wad dan dalam keadaan stabil.

“Tiada kes yang mendapat jangkitan ini semasa mengendalikan pesakit COVID-19,” katanya. – BH Online

1969