PKP: ‘Pegawai Kastam’ Mabuk Ditahan Di Jalan Tuaran Bypass

Polis menahan suspek yang memandu dalam keadaan mabuk.

KOTA KINABALU: Seorang pemandu lori ditahan bukan sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan malah memandu dalam keadaan mabuk dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada petugas Op Covid-19 di Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, suspek berusia 34 tahun dikatakan memandu kereta jenis Perodua Bezza seorang diri ditahan petugas yang sedang menjalankan sekatan jalan raya Op Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan memberi alasan tidak munasabah.

“Suspek mengatakan hendak membeli minuman keras di sebuah kedai di Tebobon, Manggatal. Memandangkan suspek ingkar PKP yang berkuatkuasa dan memandu dalam keadaan mabuk lalu polis bertugas bertindak menahan suspek.

“Bagaimanapun suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai polis yang bertugas dan mengaku dirinya sebagai pegawai kanan Jabatan Kastam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek bukanlah pegawai kanan Kastam dan ketika dibawa ke lokap, suspek sekali lagi bertindak agresif menyebabkan anggota polis menggunakan kekerasan minima untuk mengawal keadaan.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *