Tak Boleh Balik Kampung Sambut Ramadan

Orang ramai tidak dibenarkan pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga dilaksanakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, larangan itu sudah dilaksanakan sejak PKP fasa satu dan dua sebelum ini.

Menurutnya, pada PKP fasa satu dan dua dilaksanakan sudah tidak dibenarkan pergerakan rentas negeri dan begitu juga Ramadan nanti tetap tertakluk pada undang-undang sama.

“Bermakna, pergerakan beramai-ramai untuk pulang ke kampung (menyambut Ramadan) juga tidak dibenarkan, memang tidak boleh,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, banyak kenderaan perkhidmatan bukan keperluan juga didapati mengambil kesempatan memulakan operasi perniagaan walaupun belum mendapat kelulusan beroperasi.

“Ia menyumbang kepada jumlah kenderaan yang banyak di atas jalan walaupun PKP fasa tiga sudah dimulakan semalam.

“Ingin ditegaskan, semua industri perlu memohon kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan tidak dibenarkan beroperasi tanpa kelulusan,” katanya.

Beliau berkata, industri dan sektor seperti bekalan makanan dan perubatan yang sudah diberi kebenaran beroperasi semasa PKP satu dan PKP dua dibenarkan beroperasi seperti biasa. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *