Bantuan RM300 Sedang Diproses, Peserta Layak Diminta Tampil Ke depan

Junz Wong

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah mula memproses bayaran insentif RM300 untuk petani, penternak, nelayan, pekebun kecil getah dan pekebun kecil sawit, namun ramai yang layak masih belum tampil ke depan

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong berkata, sekitar 51,000 peserta masih belum mengemaskini maklumat masing-masing.

“Kami mempunyai seramai 169,628 nama dalam rekod. Ianya terdiri daripada 57,580 pekebun sawah dan tanaman lain, 30,162 nelayan, 490 penternak, 32,156 pekebun kecil sawit, 44,258 penoreh dan pekebun kecil getah, 3,800 pekebun koko dan 1,182 peserta KPD.

“Namun, hanya 118,635 peserta telah tampil ke depan. Sekitar 51,000 peserta masih belum dikenal pasti, belum mengemaskini maklumat masing-masing atau belum menyertakan butiran akaun bank masing-masing.

“Kami perlu setiap petani, pekebun, penternak, nelayan, penoreh getah, pekebun kecil getah, pekebun kecil sawit dan sebagainya yang layak untuk tampil ke depan dengan maklumat masing-masing supaya bantuan insentif RM300 yang diumum oleh Ketua Menteri melalui Pakej Rangsangan Ekonomi boleh diproses,” katanya dalam kenyataan.

Junz meminta peserta yang layak menghubungi melalui telefon pejabat agensi daerah mengikut sektor berkenaan.

“Sila tampil ke depan dan menghubungi pejabat agensi di daerah masing-masing mengikut sektor. Senarai nombor untuk dihubungi telah dimuatnaik ke facebook.com/JunzWong dan facebook.com/JunzWongSabah sejak hari Rabu.

“Kerajaan Sabah ingin menyalurkan bantuan ini secepat mungkin untuk membantu anda mengharungi PKP ini,” katanya.

SumbeR: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *