Semua Konsep Bazar Ramadan Tidak Dibenarkan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 16 April: Kerajaan memutuskan sebarang konsep perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk dalam bentuk pandu lalu, tempah dan ambil serta e-hailing tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat  khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP selepas menimbang kesan yang akan berlaku sekiranya ia dilaksanakan. 

“Kalau kita wujudkan bazar contohnya, 50 bazar sekelompok dan e-hailing datang mengambil barang itu selepas menerima pesanan, ia tidak boleh dilakukan kerana bazar dan gerai seperti itu tidak dibenarkan.

“Tetapi perniagaan e-hailing biasa yang sekarang dilaksanakan dan hantar ke rumah, perkara itu diteruskan seperti biasa,” katanya pada sidang media harian PKP di sini, hari ini.  

Sebelum ini terdapat cadangan perniagaan makanan berkonsepkan tiga kaedah iaitu pandu lalu, bungkus dan ambil serta e-hailing sebagai alternatif menggantikan bazar Ramadan yang tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan bahawa sehingga kini Talian Kasih menerima 135 panggilan berhubung insiden membabitkan keganasan rumahtangga sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. 

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menyalurkan sebarang maklumat berkaitan.

“Orang ramai terutama jiran perlu tampil dan melaporkan kes-kes keganasan rumahtangga ke Talian Kasih 15999 atau whatsapp 019-261 5999. PDRM akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Talian itu diwujudkan bertujuan menangani kes berhubung masalah rumahtangga yang melibatkan penderaan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. – BERNAMA

765