Cuba Seludup Ketam RM400,000 Masuk Tawau Gagal

Nazari semasa sidang media.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan penyeludupan ketam hidup bernilai RM400,000 dari negara jiran dalam operasi di kawasan muara sungai Tawau Lama, dekat sini awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, cubaan penyeludupan itu berjaya digagalkan anggotanya ketika menjalankan rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berkenaan kira-kira jam 3.05 pagi.

Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya mengesan dua bot jongkong dalam mencurigakan bergerak laju dari kawasan perairan Pulau Sebatik menuju ke kawasan perairan Tawau.

Sebahagian ketam hidup yang cuba diseludup secara haram. – Foto Abdul Rahemang Taiming

“Sepasukan anggota bot ronda PPM kemudiannya bertindak mengejar dan memintas kedua-dua bot berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot jongkong terbabit membawa 250 kotak dengan setiap satunya mengandungi kira-kira 20 kilogram ketam hidup disyaki cuba diseludup masuk secara haram ke daerah ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pangkalan PPM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nazari berkata, siasatan awal mendapati, kegiatan penyeludupan yang didalangi rakyat tempatan selain membabitkan rangkaian penyeludupan di wilayah Kalimantan Utara, di Tarakan Indonesia.

Katanya, modus operandi sindiket terbabit menggunakan bot jongkong berdaftar dari Tawau untuk memunggah hasil laut di kawasan sempadan perairan Sungai Melayu (Wilayah Indonesia) pada waktu tengah malam ketika air laut pasang sebelum dibawa masuk ke sini pada awal pagi (subuh).

“Kita turut menahan dua juragan masing-masing seorang lelaki tempatan dan warga Indonesia berumur awal 20-an dipercayai bertindak sebagai “transporter” untuk siasatan lanjut.

“Semua barang rampasan termasuk dua bot jongkong bersama enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM482,000 dibawa ke Pangkalan PPM Tawau, manakala hasil laut terbabit diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – HMetro

1106