Sabah Teruskan Sidang DUN Esok

Mohd Shafie ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada IPTA dan IPTS di Kota Kinabalu. Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Sabah tetap meneruskan persidangan Dewan Undang Negeri (DUN) esok dengan mengambil kira peraturan ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dibenarkan datang ke persidangan berkenaan namun hanya 50 orang saja boleh memasuki dewan dalam satu masa.

“Menurut Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sabah, kita mempunyai tempoh enam bulan untuk bersidang semula daripada mesyuarat terakhir iaitu November tahun lalu.

“Mengikut pengiraan, tempoh persidangan boleh dibuat hingga Mei hadapan tetapi kita tidak mahu mengambil sebarang kemungkinan berikutan tiada kepastian sama ada PKP masih diteruskan atau sebaliknya ketika itu,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, hanya dua kementerian iaitu Kementerian Kewangan serta Jabatan Ketua Menteri bakal membentangkan usul pada sidang DUN kali ini.

Sidang DUN Sabah ke 15 sebelum ini ditetapkan berlangsung selama lima hari kini dipendekkan dengan hanya mengambil masa tiga hari iaitu mulai esok dan 20 hingga 21 April.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dijadual menyempurnakan istiadat pembukaan DUN Sabah, esok.

SumbeR: HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *