Dua Lelaki Tempatan Dikompaun RM1,000

Kedua-dua lelaki tempatan berkenaan.

LAHAD DATU: Dua lelaki tempatan di kompaun RM1,000 selepas didakwa ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di dua lokasi berasingan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, tangkapan pertama membabitkan pemilik kedai roti, 46, di Jalan Bypass, pada pukul 9 malam, semalam.

“Ketika ditahan, suspek sedang dalam perjalanan ke rumahnya menaiki sebuah van.

“Suspek gagal memberi alasan munasabah untuk berada di luar kediaman dalam masa sama mengetahui masa operasi yamg dibenarkan bagi premis roti sehingga jam 6 petang sahaja,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki berumur 19 tahun yang bekerja sebagai pembantu dapur, di Bandar Perdana, pukul 9.30 malam, semalam.

Menurut Nasri, suspek ditahan ketika melepak di kaki lima sebuah bangunan di situ tanpa alasan munasabah untuk dia berada di luar rumah.

“Sehubungan itu, kedua-dua suspek disiasat mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7, Peraturan yang sama, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *