Jangan Nilai Usaha Kerajaan Sabah Berdasarkan Suara Sumbang

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal meminta rakyat di negeri ini agar menilai usaha kerajaan berdasarkan fakta dan bukan berdasarkan suara-suara sumbang.

Beliau berkata, jika dilihat Sabah merupakan negeri pertama yang mengambil langkah menyekat kemasukan pelancong dari Wuhan, China dalam memastikan keselamatan rakyat di negeri ini terjamin.

Katanya, kerajaan Sabah mengambil tindakan tegas dan pantas dalam menyekat penularan wabak Covid-19 yang dibawa oleh pelancong China.

Jika dilihat, Sabah juga antara negeri yang paling banyak kawasan zon hijau. Malah, sekatan jalan raya dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 di negeri ini juga agak ketat.

Atas sebab itu, seluruh Sabah hanya mempunyai 285 kes setakat semalam berbanding negeri lain. Sebagai contoh Petaling Jaya sahaja sudah mencecah lebih 200 kes Covid-19.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Covid-19 kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT), di sini hari ini.

Mohd Shafie juga mengingatkan masyarakat supaya tidak menilai jumlah kenderaan di jalan raya dengan tahap pematuhan rakyat terhadap PKP di negeri ini.

Katanya, secara purata pematuhan di setiap daerah di Sabah antara 94 hingga 95 peratus.

“Jangan menilai dengan melihat jumlah kenderaan di jalan raya sebaliknya, lihat kepada hasilnya.

“Kita dapat mengurus tadbir jumlah kes positif dan kematian serta zon hijau dengan baik.

“Zon merah di Sabah hanya di Tawau diikuti dengan zon oren di Lahad Datu dan Kota Kinabalu,” jelasnya.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *