Ingkar PKP, 4 Notis Kompaun RM1,000 Dikeluarkan Di Sabah

KOTA KINABALU: Sebanyak empat notis kompaun RM1,000 telah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah atas kesalahan gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, empat notis kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 3(1) dan Peraturan 4(1)(a), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Beliau berkata, dua notis di daerah Beaufort dan satu di Keningau disebabkan tiada surat daripada majikan untuk perjalanan kerja. Manakala, satu di daerah Tenom kerana perjalanan melebihi 10 km tanpa sebab yang kukuh.

Mengenai saringan pemeriksaan Covid-19 di Sabah, Christina berkata, sehingga kini sejumlah 255,190 orang telah menjalani saringan dan sebanyak 22,254 sampel telah diambil.

Beliau berkata, pada 13 April sahaja, sebanyak 704 ujian telah dijalankan dan 10 daripadanya positif termasuk lima sampel ulangan.

Katanya, sejumlah 161 pesakit Covid-19 masih dirawat, dengan 84 daripadanya merupakan pesakit dibawah siasatan (PUI) manakala, 59 pesakit mempunyai Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang sedang dirawat di enam hospital berpakar di seluruh Sabah.

Sehingga kini, kumulatif pesakit sembuh adalah seramai 120 orang dan kematian yang dicatatkan di Sabah adalah sebanyak empat kematian.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 832 orang masih ditempatkan di 25 Pusat Kuarantin di Sabah dan jumlah kumulatif yang discaj dari pusat kuarantin setakat ini adalah seramai 865 orang.

Tambahnya, JKNS ingin memaklumkan kesemua individu yang ditempatkan di Pusat Kuarantin terdiri daripada individu yang pulang dari luar negara serta kontak kepada kes positif Covid-19 yang tiada gejala.

“Sekurang-kurangnya dua sampel perlu diambil untuk setiap individu dan mereka perlu dikuarantin sekurang-kurangya 14 hari sehingga dua sampel mereka negatif.

“Dalam tempoh kuarantin, mereka yang menunjukkan gejala perlu dirawat di hospital sehingga sembuh,” ujarnya.

Untuk individu yang menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah pula adalah seramai 6,144 orang.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *