9 Kes Covid-19 Di Penampang Tidak Diketahui Punca Jangkitan

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mendapati sembilan kes Covid-19 yang dilaporkan di Penampang merupakan kes sporadik, iaitu kes yang tidak diketahui asal usul dan punca jangkitan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, berdasarkan analisas JKNS, daripada 11 kes yang dilaporkan di daerah itu, sembilan adalah kes sporadik. Ia termasuk lima kes melibatkan anggota kesihatan yang masih dalam siasatan.

Manakala, empat kes lagi mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

“Disebabkan itu, aktiviti kawalan dan pengesanan punca jangkitan di daerah Penampang lebih rumit kerana kes-kes yang dilaporkan tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Berbanding dengan kes Covid-19 di Lahad Datu, 97 peratus kes di daerah ini adalah daripada kluster tabligh.

Oleh demikian, aktiviti kawalan dan pencegahan lebih tertumpu kepada kluster ini dan kontak mereka.

“Lahad Datu melaporkan sebanyak 39 kes Covid-19 dan 14 kes merupakan kluster tabligh, dengan 22 kes generasi pertama dan dua kes generasi kedua manakala satu kes mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

“Atas sebab itu, JKNS berharap mereka yang disiasat dapat memberikan maklumat yang sahih dan lengkap untuk membantu pasukan penyiasat mengesan punca jangkitan supaya aktiviti kawalan yang bersesuaian dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Sehingga semalam, Sabah melaporkan 285 kes Covid-19 dengan empat kematian. Manakala, pesakit yang pulih sehingga kini adalah seramai 120 orang. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *