PKP Fasa Tiga Berkemungkinan Mampu Menamatkan Covid-19

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula hari ini adalah waktu kritikal dalam usaha negara menghapuskan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, unjuran graf berkaitan kes Covid-19 ketika ini adalah kesinambungan kawalan yang sudah dilaksanakan.

Beliau berkata, negara ini masih dalam fasa pemulihan daripada penularan wabak Covid-19 setakat minggu ke-13.

“Tetapi kita akan terus pantau sebab kes belum berkurangan lagi. JP Morgan sebelum ini jangkakan kita bakal berdepan peningkatan kes mendadak sebanyak 6,300 kes esok.

“Namun setakat jam 12 tengah hari tadi, Malaysia hanya mencatatkan 4,817 kes.

“Esok saya jangkakan jumlah keseluruhan positif Covid-19 adalah kurang daripada 5,000 kes dan ia hasil keberkesanan daripada PKP fasa pertama dan kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam usaha untuk meratakan lagi graf lengkung kes.

“Ini bukan hanya tanggungjawab oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja. Jika kita boleh lakukannya, ada kemungkinan kita akan terus mengurangkan kes, bukan hanya meratakan lengkung tapi mungkin menamatkan Covid-19 di negara ini,” katanya.

Sehingga hari ini, hampir separuh daripada 4,817 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di negara ini sudah pulih sepenuhnya.

Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 2,276 kes atau 47.23 peratus dibenarkan discaj daripada hospital, dengan terbaru, 168 kes, hari ini.

SumbeR: Harian Metro

1645