Ingkar PKP, Pemandu Lori Ais Ditahan Alih Penghadang Jalan

Lelaki tempatan berumur 32 tahun itu ditahan selepas video berdurasi 28 saat dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melalui aplikasi WhatsApp oleh pemandu lain. -Foto video viral

TAWAU: Seorang pemandu lori ais ditahan kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan mengalihkan penghadang jalan yang diletak pihak berkuasa di satu laluan pusingan U di batu tiga Jalan Apas-Tawau pada Isnin.

Lelaki tempatan berumur 32 tahun itu ditahan selepas video berdurasi 28 saat dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melalui aplikasi WhatsApp oleh pemandu lain.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas dalam kenyataan media berkata, ketika lelaki tersebut ditahan, dia mengaku telah mengalihkan penghadang jalan berkenaan lalu melakukan pusingan U.

Suspek ditahan dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan) 2020, dan Seksyen 26 (1) Akta Polis 1967.

Peter turut menasihati orang ramai supaya tidak mengalihkan penghadang jalan yang telah diletakkan polis bagi mengelakkan mereka ditahan kerana ingkar PKP.

1841