PKP: Kedai Gunting Rambut Tidak Dibenarkan Beroperasi Di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak membenarkan kedai gunting rambut di negeri ini beroperasi sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata keputusan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan supaya kedai gunting di seluruh negara tidak beroperasi dalam tempoh PKP.

“Kerajaan negeri berpendirian operasi kedai gunting rambut tidak dibenarkan kerana memang sukar untuk menentukan jarak sosial antara tukang gunting dan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program sumbangan bekalan peralatan perubatan daripada KTS Group; Malaysian Relief Agency; MR. DIY Trading (Sabah) Sdn Bhd; dan The Edge di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan kedai gunting rambut, salun kecantikan, kedai cermin mata dan semua bentuk bazar Ramadan di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.

Sementara itu, Safar berkata, kerajaan negeri tidak menghalang operasi mana-mana perkhidmatan penghantaran barangan penting terutama keperluan makanan seperti ikan dan sayur-sayuran ke daerah-daerah memerlukan sepanjang tempoh PKP ini.

Bagaimanapun, pengusaha penghantaran barangan keperluan perlu menunjukkan surat kebenaran daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian bagi memudahkan perjalanan dari satu daerah ke daerah lain.

“Kita juga memohon kepada semua pengusaha untuk mematuhi prosedur operasi standard prosedur termasuk masa dibenarkan beroperasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri, ” katanya.

Pada majlis itu, Safar mewakili kerajaan Sabah menerima sumbangan bekalan peralatan kesihatan serta perubatan berkenaan seperti penutup mulut dan hidung; peralatan perlindungan peribadi; kit ujian COVID-19 dan sarung tangan yang akan diagihkan kepada hospital dan klinik memerlukan.

1417