Covid-19: Terpaksa Kongsi Tandas & Bilik Mandi, Ali Dad Minta Dipindahkan

Haji Ali Dad menjalani pemeriksaan kesihatan.

TAWAU:  Selepas melebihi tempoh inkubasi COVID-19 selama 14 hari di pusat kuarantin di IPG Tawau, jemaah tabligh meminta keprihatinan kerajaan untuk membenarkan mereka menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

“Kami bukan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi kami sudah menjalani tempoh inkubasi selama 14 hari dan kini sudah 21 hari ditahan di pusat kuarantin,” kata Haji Ali Dad Fazal Elahi.

Beliau adalah Ketua Rombongan Jemaah Tabligh dari Beaufort yang  menghadiri Ijtima’ Tabligh Akbar Dunia  Zon Asia 2020 di Pakatto, Kabupaten Gowa Makasar Indonesia Mac lepas.

Menurutnya, mereka seharusnya dibenarkan pulang selepas menjalani tempoh inkubasi COVID-19 selama 14 hari dan kini memasuki 21 hari.

“Tetapi saya kurang faham mengapa kami masih dikuarantin. Kalau keputusan ujian positif mengapa kami tidak dirawat di hospital? Kalau negatif walaupun menjalani saringan beberapa kali, mengapa kami dikurung begitu lama?” katanya ketika menghubungi.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya membenarkan mereka pulang atau menempatkan mereka di tempat yang lebih baik seperti hotel sama dengan kemudahan yang diberikan di semenanjung.

Ali Dad merasa khuatir kerana terpaksa berkongsi bilik mandi dan tandas dengan kira-kira 20 orang yang lain dan mendedahkan mereka kepada jangkitan.

“Apatah lagi saya mengalami sakit jantung, kencing manis yang risiko jangkitannya agak tinggi,” katanya.

Menurutnya, daripada 12 anggota rombongan jemaah tabligh dari Beaufort yang dikuarantin, tiga dibenarkan pulang, tiga lagi menjalani rawatan di hospital kerana positif COVID-19 manakala enam orang lagi didapati negatif.

“Mula-mula kami semua 12 orang. Sembilan negatif manakala dua lagi positif dan dihantar ke hospital. Selepas 14 hari kuarantin, tiga yang diuji negatif dibenarkan pulang. Keputusan untuk tujuh yang lain lambat diterima. Selepas ujian kedua, enam diuji negatif manakala satu positif kerana bilik dan tandas terpaksa dikongsikan dengan mereka yang baru datang.

“Kalau keputusan saya negatif, saya memohon agar dikuarantin di rumah saya di Beaufort. Rumah saya tidak ada sesiapa, kerana keluarga semua berada di Kota Kinabalu, Yang ada hanya saya dan pembantu yang menyediakan makanan dan menjaga ubat-ubatan saya kerana setiap tiga bulan saya menjalani pemeriksaan sakit jantung, kadar gula dan sebagainya.

“Saya merayu untuk dibenarkan pulang kerana keselamatan dan kesihatan saya. Kalau di Beaufort, doktor boleh datang ke rumah untuk memeriksa saya,” katanya.

Katanya, di pusat kuarantin di IPG Balung, layanan yang diberikan cukup baik tapi yang membimbangkan tandas dan bilik mandi terpaksa dikongsi dan ini mendedahkan setiap orang kepada jangkitan.

Jelasnya, tandas dan bilik mandi terpaksa dikongsi dengan kira-kira 20 orang lain adalah membahayakan.

Beliau meminta kerajaan menyediakan fasiliti seperti hotel untuk tempat kuarantin seperti yang disediakan di negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Kalau ada hotel, tiada masalah. Saya sanggup membayar hotel sendiri kerana saya takut jika lambat nanti, penyakit lain akan timbul,” katanya.

Katanya, jika dibenarkan pulang, beliau boleh menyelesaikan beberapa komitmen seperti membayar gaji seramai 20 pekerja yang tidak dapat dibayar kerana beliau dikuarantin.

“Saya minta maaf, saya terpaaksa cakap keadaan saya. Saya bukan komplen, tapi memohon pertimbangan untuk dipindahkan kalau boleh ke rumah saya untuk memudahkan saya memakan ubat.

“Kalau tidak, saya terpaksa tidur duduk saja di katil tidak boleh baring. Sudah lebih 15 hari panas mandi peluh. Saya terpaksa bagitahu untuk keselamatan saya kerana saya ada macam-macam penyakit. Saya minta maaf sekali lagi di atas perkara ini,” katanya.

SumbeR: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *