Bulatan Jalan Utara – Jalan Lintas Sibuga Ditutup

Mohd Azhar (dua kiri) meninjau penutupan Bulatan Jalan Utara – Jalan Lintas Sibuga bagi menggelak kesesakan lalu lintas.

SANDAKAN: Bulatan di Jalan Utara – Lintas Sibuga, ditutup kepada semua kenderaan bermula hari ini, mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan kesesakan di Sekatan Jalan Raya Batu 5.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, penutupan jalan di bulatan itu adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di bulatan berkenaan.

“Pihaknya menutupan jalan di bulatan berkenaan juga adalah untuk memberi laluan khas (laluan sebelah kiri) kepada petugas barisan hadapan dan kenderaan rasmi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata penduduk dari Taman Sibuga, Taman Mawar dan penduduk di Jalan Lintas Sibuga itu hendaklah menggunakan laluan trafik dari Bandar IJM.
 
“Mereka juga boleh membuat pusingan di bulanan Mahkamah Batu 7,” katanya ketika diminta mengulas penutupan bulatan Jalan Utara – Jalan Lintas Sibuga yang ditularkan di media sosial.

Mohd Azhar berkata penduduk yang hendak mencari barang keperluan di pasar atau pasaraya dan ke bank perlulah mengikut zon masing-masing tanpa melalui sekatan jalan raya.

“Sandakan telah dibahagikan dua zon iaitu Zon A dan Zon B dengan mengikut lokasi sekatan jalan raya.
 
Mohd Azhar memberitahu Zon A bermula dari Pusat Bandar Sandakan sehingga Batu 4 dan Batu Sapi, manakala bagi Zon B pula bermula dari Batu 4 sehingga ke darat.
 
Beliau berkata orang ramai di Zon B tidak perlu ke Zon A untuk  mendapatkan barang keperluan dan lain-lain urusan terutamanya ke bank bagi membuat pemeriksaan wang bantuan kerana di Zon B juga terdapat bank di kawasan itu.
 
Mohd Azhar berkata bagi penduduk dari Batu 5, Batu 6, Batu 7 dan ke darat  dinasihati untuk mendapatkan perkhidmatan bank, klinik kesihatan, farmasi dan membeli barang keperluan harian di pasaraya atau pasar umum di kawasan tempat tinggal mereka.
 
Beliau berkata mana-mana kenderaan di Zon B yang melalui sekatan jalan raya dimana  pegawai dan anggota yang bertugas akan mengarahkan mereka berpatah balik ke kawasan mereka.

Mohd Azhar juga menegaskan pengguna kenderaan awam supaya tidak memasuki Laluan Khas yang disediakan untuk kepada petugas barisan hadapan dan kenderaan rasmi kerajaan di Jalan Utara Batu 5.

Beliau meminta orang ramai untuk mematuhi PKP dan duduk di rumah bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Mohd Azhar berkata mana-mana pihak yang dengan sengaja tidak mematuhi arahan PKP akan dikenakan tindakan tegas.

SumbeR: Utusan Borneo

1966