COVID-19: Dua Kematian Dicatat Hari Ini, 109 Kes Positif Baharu

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan.

PUTRAJAYA: Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan dua lagi pertambahan kes kematian berkaitan wabak Covid-19 dan 109 kes positif baharu, setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah 67 kes manakala jumlah keseluruhan kes sebanyak 4,228 kes.

Menurutnya, seramai 72 pesakit menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 43 memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan, kes kematian ke-66 (kes ke-2,798) adalah lelaki tempatan 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

“Beliau dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac dan disahkan meninggal dunia 5 pagi tadi.

“Kes kematian ke-67 (kes ke-2,864) iaitu wanita tempatan berusia 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif (kes ke-2,469 dan kes ke-2470) serta generasi kelima persidangan gereja di Kuching, Sarawak.

“Bagaimanapun, beliau bukan peserta persidangan itu. Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 9.42 pagi tadi,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, seramai 121 pesakit dibenarkan discaj hari ini dengan jumlah keseluruhan pesakit sembuh daripada jangkitan itu seramai 1,608 orang bersamaan 38 peratus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *